BINTULU: Sarawak terus menerima pengiktirafan dunia apabila Bintulu dikenal pasti sebagai salah satu dari empat kluster industri rendah karbon di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelebihan itu menjadikan Bintulu satu-satunya di Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian daripada Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh seorang pegawai kanan WEF yang terbang dari Geneva ke Sarawak dua bulan lalu untuk melihat sendiri potensi pembangunan ekonomi negeri ini.
“Saya pun terkejut apabila diberitahu bahawa Bintulu merupakan satu daripada empat kluster industri rendah karbon yang berkembang di dunia dan satu-satunya di Malaysia,” jelas Abang Johari.
Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini hari ini.
Sementara itu, katanya Jambatan Jepak kini diangkat sebagai pemangkin kepada gelombang kedua pembangunan Bintulu, menandakan permulaan era baharu yang lebih moden dan inklusif untuk kawasan pesat membangun itu.
Ucapnya, jambatan tersebut bukan sahaja berperanan sebagai penghubung fizikal, malah mencerminkan lonjakan aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan Bintulu sebagai bandar pintar yang berskala global.
“Ini adalah simbol kepada gelombang kedua pembangunan di Bintulu.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari.